Ahlan wa sahlan

AHLAN WA SAHLAN

11 Januari 2010


Pada tahun 2010 ini, putera sulung Muhammad Zulfahmi menjejak kaki ke peringkat menengah, beliau memilih untuk belajar di SMU(A) Bunut Sarang Burung Tumpat Kelantan. Kurikulum di sekolah ini adalah Tahfiz al-Quran dan aliran sastera. Yang penting bagi seorang manusia ialah tahu dan faham al-Quran serta mengamalkan apa yang diajar oleh Allah swt. Setiap pasangan ibubapa juga amat mengharapkan pendidikan yang terbaik kepada setiap anak, oleh itu ibubapa perlulah mendidik dan mentarbiahkan anak-anak agar merasai seronok dan berminat kepada setiap apa yang di ajar oleh al-Quran dan juga Nabi Muhammad saw. Sesungguhnya apabila matinya anak adam, kita akan bawa bersama amalan yang baik, sedekah jariah dan juga anak yang soleh. Anak yang sentiasa mendoakan agar kebahagian dan keamanan sentiasa bersama ibu dan bapanya. Oleh itu pasangan ibubapa juga perlulah membuka minda ke arah melahirkan generasi yang berkualiti dan jitidiri tinggi berdasarkan kepada al-Quran dan al-Hadis.

30 Disember 2009

Bilakah aktiviti seharian (kerja) menjadi ibadat ?
Ibadat merupakan sesuatu yang bernilai tinggi, bermutu dan memiliki kemuliaan dalam konteks pengabdian diri kepada Allah swt. Namun setiap aktiviti seharian bolehkah dikategorikan sebagai ibadat ? Oleh itu setiap kerja yang dilakukan mestilah tertakluk kepada syarat-syarat yang selaras dengan kehendak dan ajaran agama. Antaranya ialah :
1. Niat untuk memulakan kerja hendaklah kerana Allah swt..Niat itu dikirakan sebagai ibadat hati. Niat juga akan membezakan antara amalan ibadat dengan amalan adat. Sebagaimana sabda Rasulullah saw : "Sesungguhnya amalan itu adalah sah dengan niat dan adalah bagi setiap seseorang itu apa yang dia niatkan."Tetapi niat yang tepat sahaja tidak memadai, mesti meliputi cara melakukan sesuatu kerja, contohnya kita lihat ramai manusia berniat untuk mencari rezeki selaras dengan tuntutan agama, tetapi cara mendapatkannya melalui tikam nombor ekor,judi,memeras ugut, merompak dan sebagainya.
2. Kerja yang hendak dilakukan mestilah kerja-kerja yang halal menurut penentuan syariat dan akhlak islam.
3. Amalan yang dijalankan hendaklah menurut susun cara yang selaras dengan aturan-aturan agama.
4. Natijah dari sesuatu kerja yang halal itu dimanafaatkan ke jalan yang makruf seperti yang disuruh oleh Islam.
Kita perlulah mengambil berat syarat-syarat penting ini supaya setiap kerja yang kita lakukan mendapat nilai ibadat dan keredaan Allah swt. Oleh itu kita hendaklah sentiasa memberi perhatian yang serius dan janganlah melakukan kerja-kerja negatif seperti menipu, menzalimi orang bawahan, rasuah, salah guna kuasa dan lain-lain. Sekiranya didapati sebarang pekerjaan yang tidak selaras dengan Islam perlulah diubahsuai supaya bertepatan dengan Allah dan Rasul.
Firman Allah swt melalui surah al-Maidah ayat 90 , Hai orang-orang yang beriman sesungguhnya meminum arak,berjudi,menduakan tuhan, mengundi nasib dengan anak panah,adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan,Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan.
Ibadat bukan hanya menutup aurat, sebaliknya jika mendedahkanya tidak mendapat pahala ibadat,manusia akan rugi dan mendapat dosa. Perbuatan penipuan,rasuah,salah guna kuasa yang dilakukan oleh umat Islam menunjukkan hakikat ibadat sebenar telah disempitkan. Seolah-olah amalan agama yang eksklusif seperti menutup aurat sahaja dianggap bertaraf ibadat sedangkan pekerjaan hari-hari tidak bernilai ibadat.Dengan itu dalam urusan dan pekerjaan seharian,mereka merasa bebas dan terlepas daripada perhatian agama lalu tidak segan silu melakukan kerja-kerja negatif dan maksiat.

25 Disember 2009

Alhamdulillah bersyukur kepada Allah swt kerana dengan limpah kurnianya kita masih lagi diberi peluang untuk melakukan ibadat kepada Allah swt. Insyaallah pada hari pertama persekolahan tahun 2010 nanti saya akan bertugas di Sekolah baru iaitu SMK Toh Puan Habshah Penang, walaupun terasa amat sayang untuk meninggalkan pelajar-pelajar SMK Bukit Gambir namun kerana terpaksa menurut arahan maka saya terpaksa akur atas pertukaran ini. Saya ingin meminta maaf kepada pengetua,penolong kanan-penolong kanan,guru-guru dan kakitangan sekolah semoga kalian semua dilindungi Allah dan diberkati Allah selalu. Selama dua tahun saya di SMKBG banyak pengalaman dan pengajaran yang dapat saya pelajari dan dijadikan iktibar untuk masa depan. Antara pengalaman yang menjadi kenangan yang tak akan kulupakan ialah tuduhan pihak pentadbir sekolah terhadap saya iaitu tidak memberi kerjasama dan tidak menjalankan aktiviti Islam sepanjang tahun di SMKBG. Pengajaran yang dapat di ambil ialah jika kita seorang pentadbir atau pemimpin, setiap masalah yang timbul perlulah di atasi di peringkat dalaman dahulu sebelum di sampaikan kepada pihak atasan. Terkadang wujud keraguan dan ketidakadilan kepada pihak yang dituduh. Manakala bagi pihak bawahan pula perlulah berkerja dan berhubung secara terus dengan pentadbir tak payah melalui banyak pihak kerana kemungkinan akan timbul kekeliruan dan anggapan negatif.
Insyaallah peristiwa yang telah berlaku akan dijadikan iktibar dan pengajaran untuk meneruskan perjuangan kita ..... sekian

20 Disember 2009

Kenangan SMKBG



Pada 1 januari 2008 saya melapor diri di SMK Bukit Gambir sebagai guru sandaran terlatih. Saya terpaksa meninggalkan keluarga di Kota Bharu kerana isteri berkhidmat di sekolah Yayasan Islam Kelantan. Saya berjumpa dengan ramai rakan dan sahabat yang berbagai-bagai kerenah dan sikap. Sebagai pengerusi Majlis Pemuafakan Islam, saya berkerja dengan berhati-hati bersama empat orang guru yang semuanya bergelar Ustazah. Walaupun terasa serbasalah berkerja dengan wanita muslimat namun ku cuba mengikuti suasana atau situasi hakiki yang berlaku. Saya cuba sedaya upaya agar kerjasama dan sokongan pentadbir amat diperlukan. Setiap program yang kami anjurkan berjalan dengan baik dan mendapat kerjasama semua. Hatiku amat gembira sekali kerana warga SMKBG memberi respon yang baik sekaligus melenyapkan tanggapan awal saya bahawa di SMKBG ini amat sukar untuk menjalakan aktiviti Islam. Kami memperkenalkan budaya membaca doa setiap pagi oleh pelajar yang dilatih melalui usrah pelajar, tazkirah ringkas setiap pagi jumaat yang disampaikan oleh guru dan juga pelajar, kempen akhlak mulia sempena dengan bulan disiplin sekolah, meyahut seruan KPM mengenai bulan dakwah dan tidak lupa jugak mengadakan ceramah agama sempena dengan sambutan dalam takwim Islam seperti maal hijrah, kelahiran rasulullah,ramadhan dan lain-lain. Begitu juga dengan tahun kedua saya diberi kepercayaan sekali lagi untuk menerajui Pemuafakatan Islam, kami terus menjalankan aktiviti dakwah sebagaimana yang diarah oleh pentadbir dan juga KPM, namun saya terpaksa akur dengan dugaan dan ujian sebagai seorang guru agama, saya terpaksa berhijrah ke sekolah lain pada sesi 2010 atas desakan setengah pihak yang pada anggapan saya kurang bersetuju dengan saya menjalankan tugas sebagai ustaz di SMKBG. Saya redha dengan apa yang berlaku dan saya berdoa kepada Allah swt agar pengganti saya di SMKBG nanti lebih baik dan sihat, bersesuaian dengan kehendak pentadbir. Sekian.

04 Disember 2009

Sempena dengan musim cuti sekolah akhir tahun ini ramai para ibubapa mengambil kesempatan untuk menghantar anak ke kem Ibadat. Agar anak menjadi insan berguna dan bertakwa kepada Allah dan rasul. Menghormati ibu dan ayah serta berjaya sebagai insan mulia pada pandangan masyarakat.